Translate

Friday, August 26, 2022

Dua Exco Terengganu terima gelaran Datuk

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seramai 91 orang menerima kurniaan darjah kebesaran dan pingat sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ke-60.

Sultan Mizan berkenan menyampaikan darjah kebesaran dan pingat berkenaan pada majlis istiadat penganugerahan tersebut berlangsung di Istana Syarqiyyah di sini hari ini.

Mendahului senarai penerima darjah kebesaran tersebut ialah Duta Besar Malaysia ke Perancis, Datuk Mohd. Zamruni Khalid yang dikurnia Darjah Kebesaran Datuk Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu Yang Amat Terpilih (D.S.M.Z) yang membawa gelaran Datuk.

Seramai 18 individu termasuk dua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu iaitu Satiful Bahari Mamat dan Dr. Alias Razak pula dikurnia Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Terengganu Yang Amat Dihormati (D.P.M.T).

Selain itu, darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk itu juga dikurnia kepada Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad, Datuk Muhammad Idham Nawawi; Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd. Zakri Wan Mohd. dan Timbalan Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner Wan Rukman Wan Hassan.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Terengganu, Tun Ahmad Faizal Tun Abdul Razak dan Pengarah Pertanian negeri, Zulkepli Mat Jusoh @ Yusof turut dikurnia darjah kebesaran D.P.M.T. berkenaan.

Sultan Mizan juga berkenan mengurniakan pingat Darjah Kebesaran Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu Yang Amat Terpilih (S.M.Z) kepada 25 individu termasuk empat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terenganu iaitu Hanafiah Mat, Ariffin Deraman, Dr. Mamad Puteh dan Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman.

Seramai 17 individu termasuk dua ahli akademik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) iaitu Prof. Dr. Tengku Sifizul Tengku Muhammad dan Prof. Dr. Mohd. Shaladdin Muda pula dikurnia pingat Darjah Ahli Setia Mahkota Terengganu Yang Amat Dihormati (S.M.T).

Pingat Darjah Kebesaran Ahli Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu Yang Amat Terpilih (A.M.Z) dan Darjah Ahli Mahkota Terengganu Yang Amat Terhormat (A.M.T) pula masing-masing dikurniakan kepada empat dan 26 orang.

Antaranya penerimanya ialah Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Suffian Sulaiman dan Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment