Translate

Thursday, August 25, 2022

Pemandu lori maut di tapak pembinaan ECRL

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Seorang pemandu lori maut akibat digilis kenderaan dipandunya sendiri setelah terlibat dalam kemalangan di tapak pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Merchang di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 12.50 tengah hari itu, mangsa, Nasaruddin Nasir, 37, yang berasal dari Taman Sri Tanjung, Dungun meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, sewaktu kejadian, mangsa dikatakan sedang memandu lori terbabit menuju ke bengkel dari tapak pembinaan.

“Sewaktu menuruni kawasan berbukit, lori yang dipandu mangsa dikatakan tiba-tiba hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam kawasan curam pada ketinggian kira-kira tiga meter.

“Impaknya, mangsa telah tercampak keluar dari lori dipandu menerusi cermin hadapan,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Zain berkata, kepala Nasaruddin kemudiannya telah digilis salah sebuah tayar belakang lori berkenaan.

Tambah beliau, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk dibedah siasat. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment