Translate

Tuesday, August 9, 2022

‘Durian runtuh’ buat pemain Terengganu FC

Oleh MOHD AZLI ADLAN

TERENGGANU FC yang mara ke pentas akhir Piala FA selepas menewaskan Selangor kelmarin menerima ‘durian runtuh’ berupa insentif kewangan daripada kerajaan negeri.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ganjaran kewangan itu merupakan penghargaan buat skuad Sang Penyu yang berjaya ke aksi akhir piala tersebut buat pertama kali dalam tempoh 11 tahun.

“Saya berbangga dengan persembahan cemerlang TFC dibimbing ketua jurulatih, Mohd. Nafuzi Zain apabila berjaya menjinakkan Selangor pada aksi separuh akhir Piala FA malam tadi (kelmarin).

“Sebelum perlawanan, saya sudah berjanji kepada barisan kejurulatihan dan pemain (TFC) akan menerima ganjaran kewangan sekiranya mereka mara ke perlawanan akhir,” katanya ketika ditemui di Kuala Terengganu semalam.

Ahmad Samsuri bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah ganjaran yang bakal diterima skuad Sang Penyu tersebut.

Dalam pada itu, beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) percaya TFC cuma tinggal selangkah bagi menjulang Piala FA seperti pernah dilakukan pada tahun 2011.

“Perjuangan belum lagi selesai dan TFC perlu membuktikan kemampuan menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) di pentas akhir pula.

“Kita mahu mereka (TFC) cipta sejarah dan bawa pulang Piala FA ke bumi Terengganu,” katanya.

Ahmad Samsuri berkata, skuad Sang Penyu dijanjikan ganjaran lain sekiranya mampu merealisasikan misi menjulang Piala FA kelak. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment