Translate

Tuesday, August 2, 2022

Kerajaan jimat RM20 bilion laksana subsidi bersasar

 


Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Pelaksanaan subsidi bersasar dijangka dapat memberi penjimatan sehingga RM20 bilion setahun kepada kerajaan.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penjimatan tersebut bakal disalurkan semula kepada golongan sasaran iaitu kurang berkemampuan (B40).

“Selama ini, semua termasuk bukan warga negara menikmati subsidi diperuntukkan kerajaan dengan hanya 20 peratus benar-benar digunakan oleh golongan B40.

“Selebihnya turut dinikmati golongan tidak layak termasuk orang kaya (berpendapatan tinggi atau T20),” katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan nelayan di Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering di sini hari ini.

Sehubungan itu, Muhyiddin mengesyorkan kerajaan agar menyegerakan pelaksanaan subsidi bersasar berkenaan.

Jelas beliau, ia diyakini antara pendekatan terbaik bagi membantu mengurangkan tekanan inflasi dalam kalangan golongan berpendapatan rendah.

“Kerajaan perlu meneliti mekanisme pelaksanaan subsidi bersasar berkenaan bagi memastikan ia benar-benar sampai ke golongan ditetapkan,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan memberitahu Parlimen baru-baru ini, kerajaan sedang merangka mekanisme subsidi bersasar terbabit. – KOSMO! ONLINE


No comments:

Post a Comment