Translate

Tuesday, August 2, 2022

Empat individu dituduh bakar remaja lelaki

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membakar seorang remaja lelaki berusia 15 tahun pada minggu lalu.

Tertuduh, Shaikh Hilman Hakim Shaikh Anuar, 28, mengangguk faham apabila pertuduhan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.

Berdasarkan pertuduhan, Shaikh Hilman didakwa mencederakan Muhammad Fiqrie Adam Abdullah, 15, hingga parah di simpang empat Kampung Perasing Jaya, Jabor di sini pada pukul 3 pagi, 22 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, tiga tertuduh lain turut dihadapkan ke mahkamah sama atas pertuduhan mencederakan Muhammad Fiqrie Adam di lokasi, masa dan tarikh sama.

Kesemua tertuduh iaitu Mohamad Razman Zalizan, 20; dan dua beradik, Mohamad Razif Mohamad, 20; serta Muhammad Imran Mohamad, 18, dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Kosmo! 23 Julai lalu melaporkan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun mengadu dibakar rakan-rakannya gara-gara dituduh mencuri wang tunai RM100. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment