Translate

Friday, August 26, 2022

309 Waris Sultan Zainal Abidin III tuntut hak tanah faraid

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Tengku Sri Paduka Raja Terengganu, Tengku Ibrahim Sultan Ismail Nasiruddin Shah memfailkan permohonan semakan keputusan rayuan berhubung status pemilikan tanah cap zuriat di Sungai Mengkuang, Kemaman di Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu di sini hari ini.

Permohonan bagi pihak lebih 309 waris Sultan Terengganu ke-12, Sultan Zainal Abidin III itu berhubung status tanah yang sudah menjadi pertikaian sejak 99 tahun lalu itu difailkan menerusi peguam syarie, Musa Awang daripada Tetuan MA & Associates.

Musa berkata, permohonan semakan keputusan rayuan terhadap status tanah seluas kira-kira 5,463 hektar tanah cap zuriat di Sungai Mengkuang, Kemaman tersebut telah menamakan kerajaan negeri Terengganu secara responden.

“Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu dipohon agar mengeluarkan perintah membenarkan semakan semula berhubung keputusan tanah cap zuriat berkenaan yang diputuskan pada 1 Julai 2007 lalu,” katanya di sini hari ini.

Musa berkata, tanah cap zuriat di Sungai Mengkuang yang berpindah milik kepada kerajaan negeri Terengganu sejak tahun 1923 berkenaan telah dibangunkan sebagai tanah rancangan Felda.

Sehubungan itu, waris Sultan Zainal Abidin III menuntut Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu memerintahkan supaya tanah tersebut digantikan ke lokasi lain yang telah dikenalpasti mengikut kaedah istibdal.

Jelas beliau, dokumen tanah cap zuriat Sungai Mengkuang itu hanya diterokai dan diperolehi oleh waris-waris Sultan Zainal III pada tahun 1988 sebelum perakuan faraid diperolehi dari Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 24 Ogos 2000.

“Plaintif (Tengku Ibrahim) kemudiannya berjaya dalam tuntutannya berhubung pembahagian dan perwarisan pusaka bagi pihak waris Sultan Zainal Abidin III pada 25 Oktober 2005 sebelum kerajaan negeri Terengganu berjaya dalam rayuan untuk membatalkan keputusan itu pada dua tahun kemudian,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment