Translate

Monday, August 1, 2022

Penyatuan 3 parti terbesar Melayu kunci kemenangan PRU-15

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Pas masih mengharapkan UMNO berlembut membentuk pakatan politik bersama parti tersebut dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, penyatuan tiga parti Melayu terbesar negara merupakan kunci bagi mengekalkan kekuasaan di Putrajaya pada PRU-15 kelak.

“UMNO mahu Pas bersama UMNO sahaja (membentuk pakatan politik) tetapi kita tidak boleh menang (PRU-15), kena ada Bersatu.

“Saya mengajak rakan-rakan UMNO agar sama-sama menyelamatkan negara,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada pelancaran Perikatan Nasional (PN) yang disempurnakan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Rusila di sini malam tadi.

Abdul Hadi berkata, sebelum ini, Pas telah berusaha untuk menyatukan tiga parti Melayu terbesar berkenaan menerusi PN tetapi tidak berjaya.

Jelas Timbalan Pengerusi PN tersebut, kegagalan itu disebabkan segelintir kepimpinan UMNO tidak bersetuju bersama Bersatu dengan melengah-lengahkan pelancaran PN dan berura-ura membentuk jajaran politik baharu.

“Kita telah berbesar hati mencadangkan Tan Sri Muhyiddin meletak jawatan dan menerima (pemimpin) UMNO sebagai Perdana Menteri (baharu),” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment