Translate

Wednesday, August 3, 2022

Buruh rasuah polis RM200, didenda RM10,000

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Gara-gara memberi rasuah wang tunai RM200 kepada anggota polis bagi mengelak pemeriksaan dadah, seorang buruh ladang kelapa sawit didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Dazuki Ali juga memerintahkan tertuduh, Radzali Bahari, 41, menjalani hukuman penjara selama dua minggu setelah mengaku bersalah atas pertuduhan terbabit.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa memberi suapan berupa wang tunai RM200 kepada seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal yang bertugas di Balai Polis Air Putih, Kemaman.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan tertuduh sebagai dorongan untuk tidak ditangkap bagi melakukan ujian saringan air kencing pemeriksaan dadah pada pukul 4 petang, 12 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi.

Kosmo! 14 Julai melaporkan cubaan seorang lelaki menyogok seorang anggota polis dengan wang tunai RM200 sebagai dorongan melepaskan diri daripada pemeriksaan membawa padah apabila dia diberkas di Kampung Air Putih, Kemaman.

Terdahulu, lelaki berasal dari Pekan, Pahang yang menunggang motosikal Honda Dash ditahan anggota polis tersebut sebelum gagal mengemukakan lesen memandu dan cukai jalan. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment