KUALA TERENGANU - Terengganu terus dirundung malang selepas mudah diratah kepada pasukan jiran, Kelantan dengan keputusan 1-6 di gelanggang sendiri pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan, Gong Badak, Kuala Nerus, di sini malam tadi.
Penyerang import baru Kelantan, Blazhe Ilioski memberi derita buat skuad Penyu apabila pemain kelahiran Mecedonia itu menjaringkan empat gol buat pasukan lawan pada minit ke-3, 63, 76 dan 86.
Seawal minit ke-3, skuad Penyu terpaksa bermain dengan 10 orang selepas pemain pertahanan importnya, Vincent Bikana dilayangkan kad merah oleh pengadil, Mohd. Zohri Tajuddin kerana mengasari Ilioski di kotak penalti.
Ilioski mudah menyudahkan sepakan penalti menyepak deras ke penjuru kiri pintu gawang Terengganu yang dikawal Md. Sharbinee Allawee menjadikan skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warrior (PQPTRW) mendahului 1-0.
Skuad Penyu sekadar mendapat gol saguhati apabila sepakan percuma penyerang importnya, Issey Farran Makajima gagal diselamatkan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-7.
Selepas itu pesta Kelantan bermula dengan gol kedua dijaringkan seorang lagi penyerang import Kelantan, Wander Luiz Junior pada minit ke-44.
Pemain tengah PQPTRW, Wan Zack Haikal menambah luka skuad Penyu selepas mudah menyudahkan hantaran rakan sepasukan, Muslim Ahmad bagi menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-58.
Selang lima minit kemudian, Md. Sharbinee tewas lagi buat kali keempat menerusi gol kedua peribadi Ilioski.
Ilioski sekali lagi menunjukkan ketajamannya apabila merobek gawang Sang Penyu buat kali ketiga pada minit ke-76.
Selepas itu dia terus bergaya menambah gol keempat peribadi dan keenam buat Kelantan pada 10 minit kemudian. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment