SEWAKTU penulis mula berhijrah ke bumi Terengganu kira-kira tiga bulan lalu, sesuatu yang mengejutkan apabila mendapati harga hasil laut terutama ikan di negeri ini lebih mahal berbanding di Lembah Klang.
Sebagai contoh, ikan tenggiri yang biasa didapati dengan harga RM28 sekilogram di Pasar Borong Selangor, dijual pada harga RM33 bagi kuantiti sama di Pasar Borong Gong Pauh, Kuala Terengganu.
Ikan-ikan lain seperti selayang, kembung, cencaru, selar dan tongkol pula setara harganya dengan di Lembah Klang.
Pada mulanya, sukar mempercayai hakikat itu kerana Terengganu yang mempunyai jajaran pantai panjang sejauh 240 kilometer secara tradisinya terkenal dengan sektor perikanan yang gemilang apatah lagi ia memiliki hampir 8,000 nelayan tempatan yang mencari rezeki di sepanjang jajaran pantai tersebut dari Besut hingga Kemaman.
Setelah diselidiki, rupa-rupanya, boleh dikatakan kegemilangan industri perikanan yang dibanggakan tersebut semakin pudar apabila hasil laut yang didaratkan di jeti nelayan di seluruh Terengganu semakin mengecil dari tahun ke tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Peladangan dan Komoditi negeri, Nawi Mohammad berkata, sepanjang tahun lalu, hanya 51,000 tan metrik hasil laut berjaya didaratkan oleh nelayan tempatan.
Menurut beliau, ia merupakan penurunan hampir 65 peratus berbanding 84,000 metrik tan pada tahun 2009 dan antara faktor kemerosotan itu ialah hasil laut di perairan Terengganu dikatakan semakin berkurangan.
“Tambah menyuramkan lagi industri perikanan tempatan, kebanyakan pusat pendaratan hasil laut di negeri ini pula terutama di Kuala Besut, Setiu dan Chendering pula semakin cetek hingga menyukarkan nelayan.
“Kerajaan negeri amat berharap bantuan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk memperbanyakkan lagi tukun tiruan dan menambak muara sungai yang melibatkan kos besar sebagai inisiatif mengatasi masalah itu,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Berbanding perairan Pantai Barat Semenanjung Malaysia yang mewah dengan hasil laut sehingga dikhabarkan nelayan mampu membawa pulang sehingga 40 tan ikan pelaling hanya pada satu malam, benarkah isu pemuliharaan dan pengkayaan sumber laut begitu meruncing di perairan Terengganu?
Sekiranya itulah puncanya, persoalan timbul atas sebab apa pula nelayan asing gemar memasuki perairan negeri ini sehingga ke Kemaman secara haram?
Berdasarkan statistik, sepanjang enam bulan pertama tahun ini sahaja, sebanyak 39 bot nelayan asing berjaya ditahan agensi penguatkuasaan, Maritim Malaysia (APMM) kerana menangkap ikan secara tidak sah di perairan Terengganu.
Pengarah Maritim Daerah Kuala Terengganu, Kepten Maritim Zainolabidin Jusoh berkata, kes pencerobohan itu bukanlah isu baharu dan kebanyakan dilakukan oleh nelayan Vietnam.
Di sebalik kekangan jarak, masa dan aset untuk memantau samudera Laut China Selatan yang luas, APMM harus dipuji kerana semakin banyak bot nelayan asing tersebut berjaya ditahan agensi penguatkuasaan maritim negara itu sejak akhir-akhir ini.
“Sebanyak 1,376 pemeriksaan telah dilakukan oleh 12 aset APMM yang terdiri daripada lima kapal maritim dan tujuh bot maritim di sekitar perairan Terengganu sejak Januari lalu,” kata Zainolabidin.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ismail Abu Hassan pula mengakui, impak pencerobohan nelayan asing tidak harus dipandang enteng kerana dianggarkan 700,000 tan metrik ikan tidak didaratkan di pusat pengumpulan tempatan, sebaliknya diseludup masuk ke negara asal nelayan asing terbabit pada setiap tahun.
Beliau berkata, apa yang mengecewakan, sebahagian kes pencerobohan itu sebenarnya didalangi sendiri oleh segelintir nelayan laut dalam tempatan dengan mengamalkan ‘alibaba’ terhadap lesen dan bot mereka.
“Kebanyakan kes pencerobohan tersebut dilaporkan di perairan Pantai Timur termasuk Terengganu.
“Ia punca utama sektor perikanan laut dalam negara tidak dapat berkembang biarpun sudah diterokai sejak 30 tahun lalu. Jabatan Perikanan terpaksa bertindak tegas dengan membatal dan mengantung lebih 400 lesen nelayan C2,” katanya.
Perbuatan tidak bertanggungjawab demi keuntungan jangka pendek dan ketamakan diri itu amat dikesalkan kerana bukan sahaja menyebabkan negara kehilangan berbilion ringgit setahun malah rakyat sebagai pengguna turut merasai bebannya.
No comments:
Post a Comment