Translate

Sunday, July 31, 2016

Tarikan baharu Taman Tamadun Islam

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Taman tema bercirikan Islam, Taman Tamadun Islam (TTI) memperkenalkan tarikan terbaharu iaitu persembahan cahaya dan bunyi bertemakan  ‘Cahaya Ketamadunan’ yang bakal dibuka kepada pengunjung pada waktu malam bermula 1 Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd. Jidin Shafee berkata, kesemua 23 monumen berupa replika masjid terkenal di seluruh dunia yang terdapat di Taman Monumen, TTI telah dihiasi dengan lampu berwarna-warni.

Beliau berkata, sambil menikmati keindahan lampu-lampu, pengunjung yang akan menaiki kereta buggy akan turut mendengar informasi berhubung sejarah dan latar belakang setiap monumen terbabit. 

“Tayangan video juga akan dipersembahkan di tiga daripada monumen berkenaan iaitu Kubah As-Sakhrah Palestin, Masjidil Haram Mekah dan Masjid Suleyman, Turki.

“Persembahan cahaya dan bunyi yang memakan masa kira-kira sejam setengah itu diakhiri dengan persembahan air pancut bermuzik,” katanya selepas menyaksikan previu persembahan cahaya dan bunyi terbabit di TTI di sini kelmarin.

Turut hadir Pemangku Pengurus Besar TTI Management Sdn. Bhd., Khalizan Mahmud.
Mohd. Jidin berkata, persembahan cahaya dan bunyi tersebut bakal berjalan dalam dua sesi pada setiap malam iaitu pada pukul 8.45 malam hingga 10.15 malam dan 10.30 malam hingga 12 tengah malam.

Menurut beliau, sepanjang tempoh promosi selama tiga bulan, kadar bayaran kemasukan yang dicadangkan ialah RM30 seorang.

“Setiap sesi, bilangan pengunjung dihadkan kepada 80 pengunjung sahaja. Tiket kemasukan yang boleh didapati secara tempahan menerusi talian 09-6278888 atau menerusi laman web, www.tti.com.my,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Jidin berharap pakej baharu TTI yang menelan belanja RM7.6 juta tersebut dapat meningkatkan sektor pelancongan di negeri itu sempena Tahun Melawat Terengganu 2017.

No comments:

Post a Comment