Translate

Friday, July 15, 2016

Kutipan tol di LPT2 mula dilaksanakan hari ini

KEMAMAN – Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) yang menghubungkan Jabor, Kemaman ke Gemuruh, Kuala Nerus sejauh 184 kilometer mula melaksanakan kutipan tol bermula pukul 12.01 tengah malam hari ini.
LPT2 yang dibuka secara rasmi kepada pengguna pada 31 Januari 2015 itu akan menyebabkan pengguna perlu membayar kira-kira RM50.20 untuk tol sebaik memulakan perjalanan dari Plaza Tol Gombak, Kuala Lumpur.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Terengganu, Rosli Othman berkata, lebuh raya itu menyediakan perkhidmatan secara percuma selama lebih setahun lima bulan.
“Kadar tol permulaan bagi LPT2 adalah 12 sen sekilometer bagi kenderaan kelas satu iaitu kereta.
“Ia (kadar tol) sama dengan kadar yang ditetapkan di LPT1 (Lebuh Raya Pantai Timur 1) dan diyakini tidak akan membebankan pengguna,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri anjuran Bestari.Com di Kemasek di sini semalam.
Rosli berkata, kerajaan negeri percaya sebahagian besar kutipan tol itu akan digunakan pe­ngendalinya, Lebuhraya Pantai Timur 2 Sdn. Bhd. iaitu syarikat milik penuh PLUS Malaysia Berhad untuk kos penyelenggaraan dan menaik taraf kemudahan di lebuh raya berkenaan.
“LPT2 yang merupakan lebuh raya empat lorong dua hala dengan kemudahan 10 persimpangan ber­tingkat mempunyai tiga kawasan rehat dan rawat serta dua hentian sebelah dilengkapi kelengkapan medan selera, tandas dan surau.
“Selain itu, sekurang-kurang­nya dua stesen minyak akan dibina di lokasi strategik di LPT2 dalam tempoh setahun untuk kemudahan pengguna,” katanya.
Katanya, lebuh raya itu juga mempunyai 10 plaza tol iaitu Cheneh, Chukai, Kijal, Kerteh, Paka, Kuala Dungun, Bukit Besi, Ajil, Telemong dan Kuala Terengganu.
“Secara purata, LPT2 dilalui oleh kira-kira 25,000 kenderaan setiap hari dan jumlah itu me­ningkat kepada 60,000 sehari pada musim perayaan,” ujarnya.
Beliau memberitahu, sebagai alternatif kepada pengguna, kerajaan negeri sedang menaik taraf Jalan Kuantan-Kuala Terengganu dari Kemaman ke Kuala Terengganu kepada Jalan Persekutuan empat lorong yang dijangka siap pada tahun 2019.

No comments:

Post a Comment