KUALA TERENGGANU - Seorang pesara kerajaan kerugian hampir RM200,000 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan penghantaran bungkusan palsu yang disyaki didalangi warga Afrika baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Terengganu, Superitendan Koh Ah Tiam berkata, mangsa yang membayar amaun tersebut menerusi tujuh transaksi antara 17 Jun dan 23 Jun lalu hanya menyedari dirinya tertipu dan membuat aduan berhubung kes itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada semalam.
Beliau berkata, lelaki berusia 59 tahun itu berhubung dengan salah anggota sindiket itu yang berselindung di sebalik profail wanita muda dari Britain di laman sosial Facebook sejak awal bulan lalu.
"Pada mulanya,'wanita' itu meminta bantuan daripada mangsa untuk membantunya dalam urus niaga pembelian sebuah hartanah di Damansara, Kuala Lumpur.
"Kemudiannya, dia mendakwa mahu mengirim pelbagai hadiah termasuk wang tunai berjumlah RM200,000 kepada mangsa sebagai tanda penghargaan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu di sini hari ini. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment