Translate

Saturday, July 16, 2016

Leka punca T-Team terlepas tiga mata

KELEKAAN pada 10 minit pertama babak kedua memusnahkan hasrat T-Team untuk meraih tiga mata penuh apabila sekadar mencatat keputusan seri 2-2 dengan Johor Darul Takzim (Johor DT) II pada perlawanan pertama peringkat Kumpulan A kempen Piala Malaysia 2016 di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin, Kuala Terengganu malam kelmarin.

Ketua jurulatih T-Team, Rachmat Darmawan ber­kata, barisan pertahanan pasukannya tidak sepatutnya melepaskan dua gol mudah selepas selesa mendahului 2-0 pada separuh masa pertama.

“Sepatutnya kami sudah boleh meraih tiga mata selepas mendahului dua gol tetapi sayang, kita melepaskan gol-gol mudah pada awal separuh masa kedua.
“Puncanya, pe­main-pe­main saya hilang fokus dan gagal memberi res­pons terhadap tempo permai­nan pantas pasukan lawan,” kata Rachmat ketika ditemui selepas perlawanan tersebut malam kelmarin.

Rachmat berkata, dua gol yang dijaringkan dua penyerang Johor DT II iaitu Mohamad Zaquan Adha Abdul Radzak dan Paulo Rangel masing-ma­sing pada minit ke-45 dan ke-51 itu telah menyedarkan anak-anak buahnya untuk mengemaskan semula rentak permainan.
Begitupun beliau memberitahu, serangan bertali arus pasukannya selepas itu termasuk dua percubaan berbahaya pemain import sensasi T-Team, Makan Konate pada minit ke-71 dan ke-90 gagal me­nemui sasaran.

“Apa pun, secara ke­seluruhannya saya ber­puas hati dengan persembahan yang ditunjukkan anak-anak buah saya termasuk kemampuan mereka untuk mengadaptasi taktik permainan baharu yang kami terapkan,” katanya.

Terdahulu, T-Team yang juga dikenali sebagai The Titans membuka jaringan menerusi pemain tengah, Dilshod Sharifudinov yang mudah menewaskan penjaga gol Johor DT II, Samuel Jacob Somerville pada minit keenam.

Seorang lagi pemain tengah T-Team, Mohd. Nor Hakim Hassan menambah jaringan menerusi rembatan kencang dari penjuru kiri pintu gol pasukan lawan pada minit ke-16.

Usaha tidak mengenal lelah Mohamad Zaquan akhirnya berhasil apabila penyerang berusia 29 tahun itu berjaya merobek gawang pasukan tuan rumah sebaik babak kedua perlawanan bermula dan selang enam minit kemudian, Rangel menjadikan kedudukan 2-2.

No comments:

Post a Comment