Oleh MOHD. AZLI ADLAN
BESUT – Gara-gara mencuri pisang, seorang penganggur cedera parah dibelasah seorang pekerja kebun di Felda Tenang, Jerteh dekat sini pada Isnin lalu.
Dalam kejadian pada pukul 5.30 petang itu, suspek yang mengalami kecederaan pada kaki, telinga dan muka hanya dijumpai sehari kemudian dalam keadaan terbaring di tebing Sungai Besut berhampiran kebun pisang berkenaan.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, sebelum kejadian, seorang pekerja kebun terserempak dengan suspek berusia 31 tahun sedang menebang salah satu pokok pisang di kebun berkenaan.
“Pekerja kebun itu yang mengesyaki suspek mencuri pisang telah bertindak menghampiri dan memarahinya.
“Namun, tiba-tiba suspek yang berasal dari Felcra Keruak, Jerteh dekat sini bertindak nekad melibas parang dipegangnya lalu mengenai kepala lelaki berusia 42 tahun tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Mohd. Zamri berkata, berlaku pergelutan antara mereka sebelum pekerja tersebut meninggalkan kebun berkenaan lalu membuat laporan kejadian di Pondok Polis Felda Tenang di sini.
“Berdasarkan laporan, sepasukan polis menyerbu ke rumah suspek di Felcra Keruak pada pukul 2.30 pagi Selasa lalu, namun premis itu didapati tidak berpenghuni.
“Pemilik kebun pisang kemudiannya memaklumkan kepada polis tentang penemuan suspek yang dalam keadaan lemah terbaring di tebing sungai berhampiran kebunnya kira-kira 13 jam kemudian,” katanya.
Mohd. Zamri berkata, suspek yang cedera parah itu dipercayai akibat bergaduh dengan pekerja kebun berkenaan telah dihantar ke Hospital Besut untuk menerima rawatan.
No comments:
Post a Comment