Translate

Friday, July 1, 2016

LPT2 tidak mahu korban ke-96

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan KASANABILAH KAMARUL ZAMAN

KUALA TERENGGANU – Sejak beroperasi sepenuhnya pada 31 Januari tahun lalu, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) yang menghubungkan Jabor, Kemaman ke Gemuruh, Kuala Nerus sejauh 184 kilometer telah meragut 95 nyawa.

Terbaharu, seorang jururawat Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, Erawati Che Mat, 36, terbunuh akibat kecederaan parah pada kepala dan beberapa anggota badan selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 339.8 LPT2 berhampiran susur masuk Kuala Dungun, Dungun pada 21 Jun lalu.

Tragedi itu berpunca selepas kende­raan pacuan empat roda, Toyota Hilux yang dipandu suaminya terbabas akibat terlanggar lopak air sebelum merempuh pembahagi jalan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau negeri, Rosli Othman (gambar kecil) berkata, 70 peratus daripada kemalangan yang terjadi di LPT2 disebabkan kecuaian pemandu terutamanya memandu melebihi had laju yang dibenarkan.

Beliau berkata, faktor lain yang menyumbang kepada nahas di lebuh raya tersebut ialah persekitaran termasuk laluan beralun dan kehadiran haiwan liar sebanyak 14 peratus serta selebihnya merupakan keadaan kenderaan.

“Dianggarkan 60,000 pengguna akan menggunakan kemudahan LPT2 yang masih bebas tol pada setiap hari sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi ini iaitu peningkatan empat kali ganda berbanding hari biasa.

“Diharap mereka dapat memandu secara berhemah demi keselamatan diri dan pengguna lain kerana kita tidak mahu lagi menyaksikan lebih ramai lagi korban di lebuh raya ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini baru-baru ini.

Rosli berkata, selain merancang waktu perjalanan, pengguna LPT2 juga disaran memanfaatkan kemudahan kawasan rehat dan rawat (R&R) yang terdapat di sepanjang lebuh raya terbabit.

Menurut beliau, setakat ini, R&R Perasing, Paka dan Ajil telah beroperasi sepenuhnya dengan dilengkapi kemudahan medan selera, tandas dan surau.
“Sekiranya mengantuk dan penat, rehat sebentar di hentian dan R&R disediakan kerana ia mampu mengurangkan risiko kemalangan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Azlimin Mat Noor berkata, kemalangan maut di LPT2 sering berlaku di sepanjang laluan antara Perasing, Kemaman dan Bukit Besi, Dungun.
“Lokasi terbabit akan diberi tumpuan dengan anggota bomba bakal melakukan rondaan secara berkala di laluan terbabit bagi tujuan pemantauan sepanjang musim perayaan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab. Rahman berkata, secara statistiknya, kemalangan maut di LPT2 sepanjang enam bulan tahun ini telah banyak berkurangan berbanding tahun 2015.

Begitupun, tumpuan tetap diberikan kepada lebuh raya tersebut pada musim perayaan tersebut menerusi Ops Selamat 9/2016 peringkat negeri yang akan dilancarkan pada 4 Julai ini.

No comments:

Post a Comment