KUALA TERENGGANU - Pasukan Pulau Pinang mengejutkan tuan rumah, T-Team 4-3 pada perlawanan Liga Super yang berlangsung sengit di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu sebentar tadi.
Dua pemain tengah import baru Pulau Pinang iaitu Jeong Seok Min dan Ranti Jesus Cordoba muncul wira selepas masing-masing meledak dua gol.
T-Team yang mendapat jolokan The Titans pula boleh menyalahkan diri sendiri walaupun penyerang import sensasinya, Partick Dos Santod Cruz beraksi cemerlang menjaringkan gol hatrik pada perlawanan tersebut.
Terdahulu, tuan rumah membuka jaringan menerusi Santos Cuz yang mudah menewaskan penjaga gol Pulau Pinang, Sani Anuar Kamsani pada minit ke-19.
Soleye pula menyamakan kedudukan selepas menerima umpanan daripada ketua pasukan, Matias Jesus Corboba pada minit ke-35.
Giliran Pulau Pinang yang juga dikenali sebagai skuad Harimau Kumbang pula mendahului menerusi Seok Min yang berasal dari Korea Selatan pada minit ke-59.
Tersentak dengan gol itu, barisan serangan T-Team menggandakan asakan yang membawa kepada gol penyamaan oleh Santos Cruz pada minit ke-63.
Selepas itu, Harimau Kumbang kembali di hadapan apabila Seok Min menjaringkan gol kedua peribadi pada minit 67 menjadikan pasukan pelawat mendahului 3-2.
Kedudukan menjadi 3-3 selepas Santos Cruz yang berasal dari Brazil menyempurnakan sepakan penalti yang mudah menewaskan penjaga gol Pulau Pinang, Sani Anuar Kamsani pada minit ke-82.
Kegembiraan T-Team itu cuma bertahan tiga minit sahaja apabila Cordoba meledak gol kemenangan Pulau Pinang pada minit ke-85.
Gol itu muncul menerusi serangan balas pantas yang berjaya menumpaskan penjaga gol The Titans, Wan Muhammad Azraie Wan Nor buat kali keempat.
Sepanjang 90 minit perlawanan, dua pemain Pulau Pinang dan seorang pemain T-Team dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan, Suresh Jayaraman. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment