TERENGGANU – Pasukan T-Team terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata dengan pasukan Liga Perdana, JDTII apabila mencatat keputusan seri 2-2 pada perlawanan pertama kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin, Kuala Terengganu, Terengganu malam ini.
Biarpun selesa mendahului dua gol pada babak pertama, kelekaan barisan pertahanan pasukan yang kini menduduki tempat keempat Liga Suoer dalam tempoh enam minit awal separuh masa kedua membawa padah.
Gawang T-Team yang digelar The Titans itu bocor dua kali hasil jaringan dua penyerang berbisa JDTII, Mohamad Zaquan Adha Abdul Radzak dan Paul Rangel masing-masing pada minit ke-45 dan 51.
Terdahulu, The Titans membuka jaringan menerusi pemain tengah import, Dilshod Sharifudinov yang mudah menewaskan penjaga gol JDTII, Samuel Jacob Somerville pada minit ke-6.
Seorang lagi pemain tengah T-Team, Mohd. Nor Hakim Hassan menambah gol pasukan berstatus kelab itu pada minit ke-16.
Jaringan tersebut muncul hasil larian solo Mohd. Nor Hakim di penjuru kiri pintu gol JDTII sebelum membuat rembatan deras yang sekali lagi menewaskan Somerville.
Tersentak ketinggalan dua gol, barisan serangan JDTII yang diketuai oleh Rangel dan Mohamad Zaquan Adha mengandakan usaha mengempur benteng T-Team.
Usaha tidak mengenal lelah Mohamad Zaquan akhirnya berhasil apabila penyerang berusia 29 tahun itu berjaya merobek gawang pasukan tuan rumah sebaik babak kedua perlawanan bermula.
Selang enam minit kemudian, pintu gol T-Team sekali lagi bocor menerusi tandukan tajam Rangel sekali gus mengikat kedudukan 2-2. – K! ONLINE
No comments:
Post a Comment