Translate

Thursday, July 14, 2016

Menikmati panorama Kuala Terengganu dengan menaiki helikopter

KUALA TERENGGANU – Orang ramai kini berpeluang menaiki helikopter untuk menyaksikan panorama bandar raya ini dari udara menerusi pakej Heli Outpost Terengganu yang merupakan produk pelancongan terbaharu di negeri ini.

Dengan kadar bayaran RM99 seorang, penumpang berpeluang menaiki helikopter jenis Robinson R44 untuk melihat pemandangan di sekitar muara Sungai Terengganu dan bandar raya ini pada ketinggian antara 121.9 dan 152.4 meter dari paras laut.
Ketua Pegawai Eksekutif Eastern Heli Services Sdn. Bhd. (Eastern Heli Services), Abdul Hakim Baharuddin berkata, sepanjang penerbangan selama kira-kira enam minit, helikopter tersebut akan melalui beberapa lokasi menarik di sekitar Kuala Terengganu iaitu Taman Tamadun Islam, Dataran Shahbandar, Chabang Tiga, Pantai Batu Burok, tapak pembinaan jambatan Draw Brigde, perkampungan nelayan Seberang Takir dan Pasar Payang.

Beliau berkata, perkhidmatan helikopter rekreasi yang beroperasi setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 7 malam itu bermula dari pad pendaratan helikopter milik syarikat tersebut di Pulau Warisan di sini.

“Perkhidmatan helikopter rekreasi yang beroperasi sejak 8 Julai lalu mendapat sambutan memberangsangkan. Setakat ini, lebih 300 penumpang terdiri daripada pelancong tempatan tidak melepaskan peluang menaiki helikopter kami dengan melibatkan 100 penerbangan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Eksekutif Eastern Heli Services, Ahmad Izani Ab. Ghani.

Orang ramai yang berminat untuk membuat tempahan dan mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi talian 013-928 7800 atau melayari laman web, www.helioutpost.com.my.

No comments:

Post a Comment