Translate

Thursday, July 28, 2016

RISDA cadang daun ketum dieskport

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) mengemukakan cadangan pelik dan kontroversi apabila memohon kerajaan membenarkan pekebun kecil di negara ini menanam pokok ketum untuk dieksport ke luar negara.

Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin (gambar kecil) berkata, cada­ngan itu timbul selepas agensi terbabit menerima beberapa permohonan daripada beberapa syarikat farmasi dari Amerika Syarikat dan Eropah bagi membekalkan daun ketum untuk tujuan menghasilkan ubat-ubatan.

Beliau berkata, berdasarkan laporan syarikat farmasi itu yang disokong kajian terperinci beberapa buah universiti termasuk Universiti Sains Malaysia, daun ketum secara saintifiknya mempunyai nilai perubatan tinggi terutama untuk menstabilkan darah pada musim sejuk.

“Daun ketum mempunyai nilai perubatan tinggi tapi masih wujud tanggapan negatif tentang tumbuhan herba berkenaan di Malaysia.

“Jadi, apa salahnya kerajaan membenarkan pokok ditanam untuk tujuan eksport sahaja bagi membantu menambahkan pendapatan pekebun kecil yang kebanyakannya terdiri daripada orang kampung,” katanya pada sidang akhbar selepas meras­mikan Konvensyen Amalan Pertanian Baik anjuran RISDA Terengganu di Stadium Tertutup Sultan Mizan, Gong Badak di sini semalam.

Hadir sama Pengarah RISDA Terengganu, Mohd. Hussin Yusoff.
Zahidi berkata, bagi meyakinkan Kementerian Kesihatan berhubung khasiat dan manfaat daun ketum itu, RISDA bersedia untuk menyerahkan salinan dokumen dan laporan oleh syarikat farmasi tersebut tidak lama lagi.

Menurut beliau, cadangan penanaman pokok ketum bagi tujuan pengeksportan daunnya itu bertujuan membantu golongan pekebun kecil menambah pendapatan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap komoditi getah semata-mata.

“Sekiranya cadangan ini diterima, RISDA menjangkakan golongan pekebun kecil dapat menikmati pendapatan berganda sekali gus tidak perlu lagi terlalu berharap kepada getah yang kini tidak menentu harganya di pasaran dunia,” katanya.

Setakat ini, kesalahan penya­lahguna air daun ketum boleh didakwa mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga empat tahun dan denda maksimum RM10,000 jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment