MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
IPOH – Misteri kematian empat beranak yang ditemui rentung di dalam
banglo yang terbakar di Taman Bukit Medan, Sungai Siput dekat sini
kelmarin semakin terungkai apabila siasatan lanjut polis mendapati
mangsa telah membeli petrol dalam kuantiti yang banyak.
Petrol melebihi 30 liter berharga RM60 tersebut dibeli di sebuah
stesen minyak berdekatan rumah mereka beberapa jam sebelum kejadian.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, minyak itu
dibeli oleh S. Jayalatchumy, 45, dan tiga anaknya iaitu R. Thilagawati,
23, R. Puvaneswary, 21 serta R. Suhan, 17.
Berdasarkan maklumat terbaharu itu, polis masih mengekalkan kes
tersebut sebagai mati mengejut kerana ia tidak melibatkan sebarang unsur
jenayah.
Berdasarkan maklumat jiran-jiran, kali terakhir kelibat empat beranak
itu dilihat di pekarangan rumah antara pukul 6 petang hingga 7 malam.
“Jiran-jiran memberitahu, mereka tidak mendengar sebarang
pertengkaran atau pergelutan dari dalam banglo yang disewa sejak setahun
lalu oleh keluarga berkenaan pada malam kejadian,” katanya kepada
pemberita di sini semalam.
Semalam Kosmo! melaporkan, empat beranak tersebut ditemui rentung
selepas disyaki membakar diri setelah tertekan dan tidak dapat menerima
hakikat berhubung kematian ketua keluarga mereka, S. Rajan, 48, yang
meninggal dunia akibat kanser paru-paru pada Jumaat lalu.
Keluarga berkenaan merahsiakan kematian Rajan di Hospital Raja
Permaisuri Bainun di sini daripada pengetahuan keluarga terdekat dan
jiran-jiran.
Menurut Mohd. Shukri, siasatan percaya keluarga berkenaan begitu
tertekan dengan kematian Rajan empat hari sebelum kejadian hingga
sanggup mengambil tindakan drastik tersebut.
Tambahnya, keluarga Jayalatchumy juga disifatkan sebagai orang yang kurang bergaul dengan masyarakat setempat.
Namun menurut Mohd. Shukri, pihaknya masih menunggu laporan forensik untuk mengetahui punca sebenar kejadian.
Sementara itu, Pengawai Kanan 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak,
Rushisha Haris pula berkata, siasatan lanjut pihaknya percaya kebakaran
di dalam banglo itu telah menyebabkan tong gas di dapur meletup.
“Rumusan itu dilakukan selepas unit forensik bomba melakukan
pemeriksaan di dalam banglo yang telah 80 peratus musnah itu semalam
(kelmarin),” katanya.
No comments:
Post a Comment