Translate

Tuesday, February 19, 2013

Kumpulan ROM bersedia gegar

Berjanji beri persembahan hebat pada Royal Belum World Drums Festival 2013


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Kumpulan Rhythm of Malaysia ( ROM ) sudah bersiap sedia untuk memberi persembahan hebat pada  Royal   Belum  World Drums Festival 2013 yang bermula esok.

Pengurusnya, Norazman Mohd. Ramli (gambar kecil) berkata, semua 17 anggota kumpulan tersebut giat berlatih bagi menghadapi festival bertaraf antarabangsa itu.

"Persiapan rapi dibuat dengan berlatih setiap hari sejak memenangi pertandingan  Royal   Belum  World Drum Festival 2013 peringkat kebangsaan pada Sabtu lalu.

"Kami mahu memberi persembahan bertenaga bukan sahaja untuk menyaingi kumpulan dram dari luar negara, malah bagi membalas kepercayaan penganjur yang memilih  ROM  mewakili negara," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Katanya, berbanding persembahan pada Sabtu lalu yang berkonsep tradisional, pihaknya bercadang menyuntik elemen muzik moden dalam persembahan pada  Royal Belum  World Drums Festival 2013 nanti.

Katanya, beberapa instrumen dram moden akan turut dimainkan bagi diharmonikan dengan irama pukulan rebana ubi, gendang, cak lempung dan geduk.

ROM  terpilih mengisi mewakili negara selepas menewaskan cabaran sembilan pasukan tempatan lain pada pertandingan  Royal   Belum  World Drum Festival 2013 peringkat kebangsaan di RTC Gopeng dekat sini pada Sabtu lalu.

Kumpulan yang diketuai Zulbakri Ujang itu dianggotai sebahagian besarnya oleh pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim.

Satu lagi pasukan yang akan mewakili Malaysia ialah Kumpulan Aswara Percussion Ensemble.

Royal  Belum  World Drums Festival 2013 yang akan berlangsung selama lima hari turut disertai kumpulan dari Azerbaijan, Australia, Nigeria, Mesir, India, Indonesia, Vietnam, Thailand dan Singapura.

No comments:

Post a Comment