IPOH - Kerajaan memberi jaminan rakyat akan terus menikmati kadar cukai pendapatan individu yang rendah biarpun hasil negara dijangka terus meningkat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini sejajar dengan model pembangunan Malaysia yang mahu menjadi negara berpendapatan tinggi tetapi dengan kadar cukai rendah.
"Kita menuju ke arah sebuah negara pendapatan tinggi tetapi kadar cukai (individu) berada pada tahap rendah malah dalam jangka masa panjang dan sederhana dapat dikurangkan.
"Kadar cukai pendapatan kita yang tertinggi cuma 25 peratus berbanding seperti Perancis mengenakan 75 peratus dan negara Scandinavia pula 60 peratus," katanya selepas melancarkan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak di sini semalam.
Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir; Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha.
Najib menegaskan biarpun kadar cukai rendah, tumpuan kerajaan merancang pembaharuan dan pembangunan negara tidak terjejas kerana kerajaan mampu menjana pendapatan memberangsangkan dari setahun ke setahun.
Ujarnya, ia dibantu kemampuan Lembaga Hasil Dalam Negeri mengutip hasil tinggi pada tahun lalu dan kemasukan pelaburan luar yang terbanyak dalam tempoh 10 tahun.
"Gagasan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan bukan sekadar slogan tetapi berjaya diterjemahkan dalam bentuk produk seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia, Klinik Rakyat 1Malaysia dan Bantuan Persekolahan 1Malaysia," katanya.
No comments:
Post a Comment