Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
GERIK - Ketika peristiwa kemalangan yang hampir meragut nyawanya pada
14 April 2007 masih belum dapat dilupakan, pelakon Catriona Ross kini
terpaksa menerima hakikat kehilangan ibunya selepas warga emas tersebut
maut dalam nahas semalam.
Kejadian pada pukul 12.40 tengah malam di Kilometer 61.8, Lebuh Raya
Timur-Barat berhampiran Perhentian Titiwangsa dekat sini itu
mengakibatkan Siti Zawiyah Ab. Rahman, 63, meninggal dunia di tempat
kejadian.
Turut maut dalam kejadian itu ialah dua kenalannya, Norini Abd.
Ghani, 52, dan Sitah Abdullah, 42. Pemandu kereta Proton Saga BLM,
Mustapa Che Su, 59, pula parah dan kini dirawat di Hospital Taiping
dekat sini.
Kesemua mangsa dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan untuk ke rumah kenalan mereka di Kepala Batas, Pulau Pinang.
Difahamkan selepas itu, kesemua mangsa bercadang untuk menyampaikan
sumbangan kepada Madrasah Zabaydiah, Merbok, Kedah namun hasrat itu
tidak tercapai.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Manab Baharom berkata,
kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu Mustapa telah bertembung
dengan sebuah bas di laluan bertentangan ketika hendak memotong beberapa
kenderaan di hadapannya.
"Ekoran itu, kereta tersebut telah terbabas ke dalam longkang. Tempat
kejadian terletak tidak jauh dari Hutan Belum dan berkabus," katanya.
Tambahnya, pemandu dan 29 penumpang bas berkenaan yang dalam perjalanan ke Kuala Terengganu, Terengganu tidak cedera.
Menurut Manab, mayat kesemua mangsa dibawa ke Hospital Gerik dekat sini.
Sebelum ini, Catriona atau nama sebenarnya Catriona Norhayati Ross
Bahrin Ross, 33, yang membintangi beberapa filem dan drama seperti Qabil Khushry Qabil Igam, Cermin, Rafflesia dan Sephia pernah terlibat dalam kemalangan ngeri yang mengakibatkan kedua-dua belah tangan dan kakinya patah pada 14 April 2007.
Kemalangan di Kilometer 230.8, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Rembau,
Negeri Sembilan itu berlaku selepas kenderaan Chevrolet yang dipandu
rakannya, Jeniffer Govia ke arah Ayer Keroh, Melaka dirempuh sebuah
treler.
No comments:
Post a Comment