Translate

Monday, February 25, 2013

Kebajikan 5,000 ahli masyarakat India di Buntong terbela


IPOH - Kebajikan kira-kira 5,000 ahli masyarakat India di kawasan  Buntong  di sini mendapat perhatian kerajaan yang mengumumkan peruntukan lebih RM1 juta untuk membina dan menaik taraf infrastruktur di kawasan tersebut.

Peruntukan tersebut diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri  Muhyiddin  Yassin sempena lawatan kerja seharinya ke Perak baru-baru ini dan ia disambut gembira oleh penduduk  Buntong .

Ia melibatkan peruntukan untuk keperluan pendidikan, agama, kemudahan asas dan sosial di kawasan yang terkenal dengan perindustrian snek berasaskan kacang putih itu.

Antaranya bagi membina bangunan Persatuan Pengajian Kitab Tradisional Hindu Malaysia dengan peruntukan RM50,000, pembinaan bangunan Pertubuhan Penganut-Penganut Jegathguru Sri Raghavendra (RM50,000) dan sumbangan RM50,000 kepada Persatuan Shirdi Sai Baba.

Sebanyak RM150,000 pula diperuntukkan bagi membina bangunan tambahan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil St. Philomena, mengecat rumah pangsa Taman Pertaman  Buntong  (RM80,000) dan pembinaan bangunan Kelab Kacang Putih  Buntong  (RM200,000).

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, kebajikan kaum lain di kawasan itu juga tidak dilupakan apabila RM50,000 diperuntukkan untuk membina jalan masuk ke Tanah Perkuburan Islam  Buntong  dan pembinaan gelanggang serba guna Sekolah Jenis Kebangsaan Cina  Buntong  (RM100,000).

"Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa prihatin dengan nasib rakyat dan sedaya upaya membantu tanpa mengira kaum.

"Pelbagai program dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional termasuk memperkenalkan hampir 200 produk 1Malaysia seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Begitu juga beberapa langkah lain seperti kawalan harga pada musim perayaan, subsidi gula dan minyak," katanya.

No comments:

Post a Comment