Translate

Tuesday, February 19, 2013

Ketua pencuri kenderaan tewas

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.co.my

IPOH – Ketua penjenayah curi kenderaan mewah bergelar Geng Farid yang bermaharajalela di Manjung sejak dua tahun lalu mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Ayer Tawar, Sitiawan dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 4 pagi, Farid Abdul Hamid, 25, yang menjadi buruan polis kerana dipercayai terlibat dalam sembilan kes curi kereta mewah dan satu kes bunuh mati di tempat kejadian akibat terkena tiga das tembakan di beberapa anggota badan.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A. Paramasivam berkata, sebelum kejadian, sepasukan polis yang membuat rondaan di pekan Sitiawan dekat sini terserempak dengan suspek yang memandu kenderaan Naza Citra menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Polis cuba memeriksa kenderaan itu namun suspek memecut laju menyebabkan polis mengejar sejauh lima kilometer sehingga tiba di satu selekoh di Taman Sungai Wangi, Ayer Tawar sebelum kenderaan itu terbabas,” kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini semalam.

Menurut beliau, suspek keluar daripada kenderaannya yang terbabas sambil melepaskan satu tembakan yang mengenai cermin kereta peronda polis sehingga pecah.

Bagi mempertahankan diri, polis membalas dengan melepaskan beberapa das tembakan menyebabkan suspek terkorban.


"Pemeriksaan pada suspek menemui sepucuk pistol revolver, tiga butir peluru, sebuah beg silang mengandungi lesen memandu dan satu beg plastik berisi kapsul dipercayai syabu.

"Pemeriksaan di dalam kenderaan pula menemui sebilah parang panjang manakala kenderaan itu dilaporkan hilang di Jalan Tun H.S. Lee, Kuala Lumpur pada 7 Mei 2012," kata beliau.

Paramasivam memberitahu, siasatan awal mendapati suspek merupakan ketua kumpulan penjenayah yang terlibat dalam sembilan kes curi kenderaan mewah di sekitar Sitiawan, Lumut dan  Ayer   Tawar  sejak Februari 2011 hingga Jun tahun lalu.

Suspek itu juga dipercayai individu yang bertanggungjawab menembak mati seorang mekanik, Steven Ling Hock Chuan, 33, di depan rumahnya di Taman Sejati Dua, Seri Manjung pada 10 November tahun lalu.

Dalam kejadian pada pukul 9.30 malam itu, mekanik itu maut di tempat kejadian terkena beberapa das tembakan.

Selain kes bunuh dan kes curi kenderaan, suspek juga mempunyai tiga kes jenayah melibatkan penyalahgunaan dadah dan samun.

"Pada akhir tahun lalu, polis sudah memberkas beberapa anggota geng diketuai suspek di sekitar Manjung," kata beliau sambil memberitahu pihaknya sedang memburu saki-baki anggota kumpulan penjenayah itu.

No comments:

Post a Comment