Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
SUNGAI SIPUT - Empat beranak yang dipercayai tertekan dan tidak dapat
menerima hakikat kematian ketua keluarga akibat kanser paru-paru
ditemui mati terbakar dengan dua daripada mereka berpelukan di rumah
banglo di Taman Bukit Medan di sini semalam.
Empat mangsa itu ialah S. Jayalatchumy, 45, dan tiga anaknya, R.
Thilagawati, 23, R. Puvaneswary, 21, serta R. Suhan, 17. Kematian ibu
dan tiga beradik itu berlaku hanya empat hari selepas S. Rajan, 48,
suami kepada Jayalatchumy mati.
Mayat keempat-empat beranak itu ditemui di bahagian dapur dengan Thilagawati dan Puvaneswary dalam keadaan berpelukan.
Difahamkan keluarga berkenaan merahsiakan kematian Rajan di Hospital
Raja Permaisuri Bainun, Ipoh pada Jumaat lalu daripada pengetahuan
keluarga terdekat dan jiran-jiran.
Jiran sebelah rumah mereka, Mok Kam Hing, 43, berkata, dia menyedari
berlaku kebakaran di rumah disewa keluarga itu sewaktu menonton
televisyen pada pukul 12.10 tengah malam.
"Saya terkejut terdengar bunyi letupan kuat dan pada mulanya disangka
mercun tetapi selepas menjenguk ke luar rumah, saya mendapati rumah
sebelah sedang terbakar," kata Kam Hing yang kemudian menghubungi bomba.
Kata jiran itu lagi, dia percaya letupan itu berpunca daripada tong
gas yang terbakar sebelum api merebak membakar hampir semua ruang rumah
berkenaan.
Kam Hing memberitahu, keluarga tersebut sering menyendiri dan tidak
bercampur dengan masyarakat sejak mendiami banglo milik seorang doktor
kira-kira setahun lalu.
Sementara itu, abang Jayalatchumy, S. Ramesh Rao, 47, berkata, dia
terkejut apabila mengetahui kematian adiknya dan tiga anak wanita itu
dalam keadaan tragis.
Lebih mengejutkan, dia yang tinggal di Taman Muhibbah di sini
mendakwa baru mengetahui mengenai kematian adik iparnya, Rajan yang
disembunyikan oleh Jayalatchumy.
"Saya difahamkan pengkebumian Rajan diuruskan sendiri oleh Jayalatchumy dan anak-anaknya pada Sabtu lalu.
"Sejak tiga tahun lalu, Jayalatchumy dan keluarganya bertindak
menjauhkan diri daripada keluarga kandung dan keluarga sebelah mertua
ekoran satu perselisihan faham," katanya yang enggan mendedahkan punca
perselisihan faham itu.
Bagaimanapun, Ramesh berkata, dia tetap akan melakukan kewajipan
sebagai seorang abang dengan menyempurnakan persemadian Jayalatchumy dan
anak-anaknya di Kampung Rimba Panjang di sini pada hari ini.
Rajan dan Jayalatchumy mengusaha ladang getah milik mereka di sini
manakala Thilagawati bekerja sebagai kerani, Puvaneswary masih menuntut
di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) dan Suhan pula pelajar
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Muhibbah di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman
Salim berkata, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput
dan Ipoh dihantar ke tempat kejadian pada pukul 12.22 tengah malam
sebaik menerima panggilan kecemasan.
Menurut beliau, kebakaran itu dipercayai bermula dari bahagian dapur itu sebelum merebak ke beberapa bahagian rumah.
Katanya, kesemua mayat mangsa ditemui di dapur rumah tersebut pada pukul 12.57 tengah sejurus selepas api berjaya dipadamkan.
"Pihak bomba berjaya memadam api 35 minit kemudian dan mengesyaki
kebakaran itu berpunca daripada letupan tong gas," kata beliau.
Azman memberitahu, polis mengklasifikasi kematian empat beranak itu
sebagai mati mengejut dan sebelum ditemui mati mereka dikatakan amat
tertekan selepas kehilangan ketua keluarga yang menjadi tempat
bergantung.
No comments:
Post a Comment