Translate

Wednesday, February 20, 2013

Serbuan cari makmal dadah jumpa peluru


IPOH - Misteri timbunan pasir di belakang sebuah rumah teres tidak berpenghuni di  Anjung   Bercham   Megah ,  Bercham  di sini kelmarin membuka rahsia apabila polis menemui satu beg plastik mengandungi 177 butir peluru hidup tertanam di dalam timbunan pasir itu.

Sebelum peluru untuk kegunaan pistol jenis automatik itu ditemui pada pukul 2 petang, polis mulanya membuat serbuan ke rumah teres setingkat itu selepas menerima maklumat bahawa kediaman terbabit dijadikan makmal pemprosesan dadah.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A. Paramasivam berkata, pemeriksaan di dalam rumah yang tidak berpenghuni tetapi lampu di ruang tamu bernyala tidak menemui apa-apa bukti yang rumah itu dijadi makmal memproses dadah.

"Pemeriksaan di belakang rumah itu menemui satu timbunan pasir yang mencurigakan. Polis yang menggali timbunan itu menemui satu bungkusan beg plastik yang mengandungi 149 butir jenis .9 mm dan 28 butir peluru jenis .22 mm," kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Perak di sini semalam.

Menurut beliau, setakat ini tiada tangkapan dan polis sedang menyiasat pemilik rumah tersebut bagi mendapat maklumat mengenai penemuan peluru itu.

"Berdasarkan maklumat, rumah itu sering tiada penghuni tetapi beberapa lelaki didakwa pernah keluar masuk di rumah tersebut," kata beliau.

No comments:

Post a Comment