Translate

Sunday, February 24, 2013

Royal Belum World Drums Festival buka tirai hari ini


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH -  Royal   Belum  World Drums Festival 2013 membuka tirainya hari ini dengan persembahan pembukaan di dua buah lokasi iaitu Aeon Seri Manjung, Manjung dekat sini dan Taiping Sentral Mall, Taiping.
Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak,  Musa   Dun  berkata, lima kumpulan  dram  termasuk Aswara Percussion Ensemble akan membuat persembahan selama dua jam bermula pukul 4 petang di Aeon Seri Manjung.

"Jelajah sulung ini akan turut disertai empat kumpulan  dram  antarabangsa iaitu Pancasura STSI Bandung (Indonesia), Natiq Rhythm Group (Azerbaijan), Harubee (Maldives) dan Nakhonsawan Rajabhat University and Absolutely Thai (Thailand).

"Setiap kumpulan ini akan mempersembahkan kebudayaan dan irama  dram  negara masing-masing untuk santapan pengunjung," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

 Musa  berkata, jelajah  Royal   Belum  World Drums Festival 2013 kemudiannya akan diteruskan di Taiping Sentral Mall pada sebelah malam.

Beliau berkata, persembahan berlangsung dari pukul 8 malam hingga 10 malam itu disertai kumpulan Tataloe Percussion (Indonesia), Wild Marmalade (Australia), Egyptian Nile Folkloric Musical Troupe (Mesir) dan Wicked Aura (Singapura).

"Orang ramai terutama di sekitar Manjung dan Taiping dijemput memeriahkan kedua-dua program jelajah tersebut," katanya.

 Musa  berkata, Rhythm of Malaysia (ROM) yang baru memenangi pertandingan  Royal   Belum  World Drums Festival 2013 peringkat kebangsaan pada Sabtu lalu akan diberi penghormatan untuk membuat persembahan pada acara kemuncak di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh di sini pada Ahad ini.

Katanya, pihak penganjur juga memutuskan kumpulan Perkusi Gatra yang merupakan johan pertandingan  Royal   Belum  World Drums Festival 2013 peringkat Perak selain meraih tempat ketiga peringkat kebangsaan diberi peluang sama membuat persembahan di hadapan Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.

Festival dianjurkan oleh kerajaan negeri Perak melalui Tourism Perak dan diuruskan oleh Kilatan Unggul EZ Events Sdn. Bhd.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web, www.royalbelumworlddrumfest.com.

No comments:

Post a Comment