Translate

Monday, February 25, 2013

Aksi dram pukau penonton


IPOH – Royal Belum World Drums Festival 2013 yang berlangsung di Perak sejak lima hari lalu menutup tirainya malam tadi dengan penuh gilang-gemilang di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh di sini.

Persembahan kesemua 11 pasukan dari 10 negara pada Malam Gala tersebut berjaya memukau lebih 10,000 pengunjung.

Biarpun bandar raya Ipoh dilanda hujan renyai, mereka yang membanjiri lokasi festival sejak pukul 8 malam nyata terhibur dengan aksi dan kemahiran kumpulan dram tempatan dan antarabangsa.

Persembahan dimulakan kumpulan Rhythm of Malaysia yang menjuarai pertandingan Royal Belum World Drums Festival 2013 peringkat kebangsaan.

Anak-anak muda yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tidak mensia-siakan penghormatan itu dengan memberi persembahan bertenaga.

Suasana semakin gamat apabila kumpulan Harubee dari Maldives muncul menampilkan persembahan gendang dan tarian ala aksi filem Tamil.

Keceriaan jelas tergambar ketika penonton bersorak dan bertepuk tangan mengiringi persembahan dua lagi wakil negara iaitu Aswara Percussion Ensemble (APE) dan Perkusi Gatra.

Persembahan kumpulan antarabangsa lain seperti Natiq Rhythm (Azerbaijan), Tataloe Percussion (Indonesia), Wicked Aura (Singapura), Wild Marmalade (Australia) dan Egyptian Nile Folkoric Musical Troupe (Mesir) juga tidak kurang hebatnya.

Kumpulan dram dari Mesir memukau penonton dengan tarian seorang penari lelaki yang menggunakan teknik putaran kain yang mengasyikkan.

Persembahan yang bermula pada pukul 8.45 malam diserikan dengan kehadiran Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim yang berkenan merasmikan Malam Gala Royal Belum World Drums Festival 2013.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan, Usahawan, Pelancongan negeri, Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan, Datuk Hamidah Osman.

No comments:

Post a Comment