Translate

Sunday, February 24, 2013

Pergolakan di Johor bukti pembangkang tidak sepakat


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SUNGAI SIPUT  - Pergolakan secara terbuka antara DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung pembahagian kerusi di  Johor  membuktikan pakatan pembangkang tidak pernah mempunyai kesefahaman dan muafakat untuk bergabung.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri  Muhyiddin  Yassin berkata, pakatan pembangkang tersebut bukan sahaja tidak ada kesepakatan dalam isu pembahagian kerusi malah mengenai hala tuju dan dasar masing-masing.

"Soal kerusi pun tak boleh selesai, apabila pilihan raya nanti pasti bergaduh. Mereka tidak ada haluan yang sama, inilah yang ada dalam parti pembangkang.

"Ini tidak beri gambaran yang baik kepada parti pembangkang dan boleh menjejaskan keyakinan masyarakat kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada 1,000 penduduk pekan  Sungai   Siput  di sini sempena program Perhimpunan Rakyat 1Malaysia yang turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir.

Beliau mengulas pertelagahan terbuka pakatan pembangkang di  Johor  berhubung pengagihan kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) termasuk Pengerusi PKR negeri, Datuk Chua Jui Meng hendak bertanding ke Parlimen Gelang Patah yang turut mahu ditandingi DAP.

Pengerusi DAP  Johor , Dr. Boo Cheng Hau mendesak Jui Meng dipecat kerana bekas Naib Presiden MCA itu menyebabkan pakatan pembangkang negeri berpecah dan sering memperlekeh pandangan partinya dan Pas.

Pengerusi DAP, Karpal Singh juga menyebelahi Cheng Hau dengan mencurigai kredibiliti Jui Meng sebagai bekas pemimpin MCA yang melompat ke PKR dan meminta kepimpinan Pakatan Rakyat memberi perhatian kepada desakan Pengerusi DAP Johor tersebut.

No comments:

Post a Comment