Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
IPOH - Penjawat awam termasuk pesara kerajaan perlu menghargai
kerajaan sedia ada yang telah melakukan pelbagai penambahbaikan dan
transformasi dalam sektor itu dengan menyokong kerajaan Barisan Nasional
(BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam
(CUEPACS), Datuk Osman Omar berkata, ia dibuktikan apabila golongan
tersebut telah menerima sebanyak 18 manfaat menerusi penambahbaikan
terbabit dalam tempoh lima tahun ini.
"Sebagai pemimpin kesatuan, saya nasihat ahli-ahli (CUEPACS) sebagai
anggota perkhidmatan awam agar buat keputusan dengan kebijaksanaan.
"Apa hendak lagi? Sudah bagus sekarang. Skim pencen pun naik sebanyak
dua peratus setahun," katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan Kad
Skuad Pengguna kepada ahli-ahli CUEPACS Perak di sini semalam.
Turut hadir Pengarah Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Mohd. Helmi Mohd. Noor.
Osman berkata, transformasi dalam sektor perkhidmatan awam bakal berterusan dengan lebih banyak lagi manfaat lain dijangka diumumkan kerajaan diterajui BN dalam masa terdekat.
Beliau berkata, segala manfaat yang telah dan bakal diperoleh tidak pasti akan berkekalan serta dilaksanakan jika pucuk pimpinan kerajaan sekarang bertukar tangan.
"Fikirkan apa manfaat yang kita telah dapat seperti kenaikan gaji, pangkat, gaji minimum dan sebagainya.
"Penjawat awam di Malaysia paling beruntung di dunia. Tiada negara lain yang membenarkan wang pencen dibayar dan dipindahkan kepada pasangan setelah pesara meninggal dunia," katanya.
No comments:
Post a Comment