Translate

Monday, March 7, 2022

Kilang penapisan bio generasi kedua terbesar Asia dilancar

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Anak syarikat kerajaan negeri Terengganu, Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc.) melancarkan Taman Perindustrian Kertih Terengganu (KTIP) di sini.

Pengarah Eksekutif Terengganu Inc., Burhanuddin Hilmi Mohamed berkata, KTIP merupakan kompleks kilang penapisan bio generasi kedua terbesar di Asia.

“Ia dibina di tanah seluas 407 hektar dengan fasa satu yang menelan belanja 680 juta dijangka boleh beroperasi pada tahun 2024.

“Projek ini merupakan kerjasama antara Terengganu Inc. dan MGB Berhad (MGB),” katanya selepas menyaksikan pelancaran KTIP di sini hari ini.

Projek berskala besar itu dirasmikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

Burhanuddin Hilmi berkata, kedudukan KTIP strategik kerana berada di hab bioekonomi bersepadu melibatkan industri biopolimer dan produk kimia.

Tambah beliau, antara infrastruktur dan fasiliti sedia ada berhampiran KTIP ialah loji pemprosesan gas, loji penapisan minyak dan dua pelabuhan iaitu Kemaman serta Kertih.

“Saya difahamkan kerajaan negeri Terengganu telah menggerakkan usaha memacu pembangunan (KTIP) termasuk pembesaran kapasiti Pelabuhan Kemaman.

“Kami yakin KTIP masih menarik pelabur sekali gus berpotensi menjana pertumbuhan ekonomi negeri malah limpahannya bakal dinikmati rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment