Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Seorang wanita warga emas terpaksa berkorban menjaga cucu lelaki yang menderita penyakit cerebral palsy, spina bifina dan hydrochephalus sejak lahir.
Saripah Arabiah Che Embong, 61, berkata, di menjaga cucu lelakinya, Ahmad Benyamin Abdullah, 9, yang merupakan golongan orang kelainan upaya (OKU) seorang diri.
Katanya, ibu kandung Ahmad Benyamin, Khairulnisa Mohd. Yusoff, 31, iaitu anak perempuannya juga OKU kategori lembam dan dia tidak mampu untuk menjaga anak sendiri.
“Penyakit yang dihadapi Benyamin menyebabkan cucu saya terlantar dan perlu dibantu menguruskan diri termasuk makan, mandi serta membuang air kecil dan besar,” katanya ketika ditemui di Kampung Jeram, Manir di sini baru-baru ini.
Saripah Arabiah berkata, dia secara sukarela mengambil tanggungjawab menjaga Ahmad Benyamin kerana sayang terhadapnya.
Menurutnya, dia perlu memasang tiub pada saluran kencing cucu lelakinya bagi memudahkan kanak-kanak itu membuang air kecil setiap hari.
“Dia juga perlu memakai lampin pakai buang dan hanya boleh minum susu khas. Oleh kerana tiada kerusi roda, saya perlu mengangkat cucu saya setiap kali hendak memandikannya.
“Fizikal yang semakin membesar membuatkan saya kadangkala terpaksa memerah kudrat tua untuk mengangkatnya ke bilik air,” katanya.
Saripah Arabiah berkata, penjagaan Ahmad Benyamin mungkin lebih ringan sekiranya mereka mempunyai kerusi roda khas untuk pergerakan cucunya.
Ujarnya, dia menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan, selain susu khas yang disumbang Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).
“Saya sering berdoa agar terus diberi kesihatan oleh Allah untuk menjaga cucu lelaki istimewa sini hingga ke akhir hayat,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Simpanan Nasional milik Saripah Arabiah bernombor 11002-41-00010637-8 atau menghubunginya di talian 013-534 7669. -KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment