Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Remaja perempuan berusia 15 tahun yang dituduh membunuh bayinya pada 8 Februari lalu mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini agar dibebaskan dengan jaminan.
Permohonan dikemukakan barisan peguamnya diketuai Sangeet Kaur Deo itu merupakan semakan kehakiman bagi mengenetepikan keputusan Mahkamah Majistret Kemaman pada 15 Februari lalu.
Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman sebelum ini memerintahkan remaja yang sedang berpantang itu ditahan di Sekolah Tunas Bakti Marang.
Sangeet berkata, permohonan semakan kehakiman itu dilakukan mengikut Seksyen 31 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan Seksyen 35 akta sama.
“Kami berhujah tertuduh adalah pesalah muda yang menjadi mangsa eksplotasi seksual dan tidak matang untuk melalui pengalaman hamil dan kelahiran.
“Keutamaan bagi remaja itu dibebaskan dengan ikat jamin secepat mungkin kerana dia amat memerlukan rawatan fizikal dan mental,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah di sini hari ini.
Dalam pada itu, pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fadli Mahmud juga mengemukakan hujahannya untuk membantah permohonan terbabit.
Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani yang mendengar hujah kedua-dua pihak menetapkan 8 Februari depan untuk memutuskan kehakimannya.
Kosmo! 16 Februari lalu melaporkan remaja berusia 15 tahun itu menghadapi pertuduhan membunuh bayi lelaki yang baru dilahirkannya di Mahkamah Majistret Kemaman. – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment