Translate

Monday, March 7, 2022

Gegelang sotong disyaki guna logo pengesahan halal palsu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Produk gegelang sotong yang didakwa diperbuat daripada dubur atau usus babi disyaki menggunakan logo pengesahan halal yang tidak diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, berdasarkan gambar yang tular di media sosial, logo pengesahan halal yang digunakan dalam pembungkusan gegelang sotong tersebut boleh diragukan.

“Saya mengesyaki ia bukan logo pengesahan halal Jakim atau yang diiktiraf badan itu.

“Begitupun, siasatan lanjut masih belum dapat dilakukan kerana tiada aduan rasmi yang membolehkan kami memeriksa logo pengesahan halal itu,” katanya ketika meninjau perjalanan Program Jualan Keluarga Malaysia di Masjid Kampung Mak Kemas di sini hari ini.

Sehubungan itu, Rosol menasihatkan pengguna yang mengetahui premis yang menjual gegelang sotong diragukan logo pengesahan halal tersebut membuat aduan rasmi segera kepada KDNHEP.

Jelas beliau, ia bagi membolehkan tindakan lanjut diambil mengikut Akta Perihal Dagangan 1972.

Kosmo! Jumaat lalu melaporkan Jakim masih menyiasat isu tular di media sosial berhubung gambar gegelang sotong yang didakwa diperbuat daripada dubur atau usus babi.

Timbalan Ketua Pengarahnya (Dasar), Datuk Hakimah Mohd. Yusoff berkata, semua pihak dipohon agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengeruhkan lagi keadaan sehingga hasil siasatan dimaklumkan secara rasmi oleh pihak berkuasa berkenaan. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment