Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Mangsa banjir di Terengganu masih kekal 137 orang daripada 42 keluarga melibatkan dua perkampungan di Hulu Dungun.
Ketua Sektetariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Mohd. Rosman Abdullah berkata, dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi ialah Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja dan Dewan Orang Ramai Kampung Shukor.
“PPS Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja masih menempatkan 69 mangsa daripada 22 keluarga manalala seramai 68 mangsa daripada 20 keluarga berada di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Shukor.
“Kebanyakan kawasan di Terengganu termasuk Hulu Dungun pada pagi ini mendung dan berangin namun sedikit lokasi masih mengalami hujan renyai,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Rosman berkata, banjir yang melimpahi Kampung Pasir Raja dan Kampung Shukor dilihat semakin surut namun penduduk masih belum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing kerana paras Sungai Dungun berhampiran masih tinggi.
Jelas beliau, langkah berjaga-jaga diambil kerana dikhuatiri hujan akan turun semula menyebabkan paras banjir kembali meningkat.
“Begitupun, jika cuaca terus baik, saya mengandaikan kesemua mangsa banjir di dua perkampungan itu akan dibenarkan pulang ke rumah pada hari ini,” katanya. – K! ONLINE
No comments:
Post a Comment