Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Sebahagian besar 38 penempatan berhampiran pesisir pantai dan muara sungai di seluruh Terengganu dilimpahi air berikutan fenomena air pasang besar mulai malam tadi.
Kebanyakan perkampungan itu khususnya di bandar raya ini, Dungun, Kemaman dan Besut dinaiki air kira-kira 0.5 meter mulai pukul 8.30 malam.
Begitupun, berikutan ketiadaan hujan, air pasang besar itu cepat surut menjelang detik 12 tengah malam semalam.
Seorang penduduk, Che Mandok Abdullah, 77, berkata, penempatannya di Kampung Losong Haji Mamat di sini sentiasa berhadapan dengan fenomena air pasang besar setiap kali musim tengkujuh saban tahun.
“Begitupun air tidak memasuki rumah kami yang dibina agak tinggi kerana memahami risiko banjir perlu dihadapi.
“Seingat saya, kali terakhir rumah saya dan jiran-jiran sekampung benar-benar ditenggelami banjir sehingga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sewaktu banjir besar 1986,” katanya ketika ditemui di Kampung Losong Haji Mamat di sini malam tadi.
Dalam pada itu, menantunya, Zuki Ahmad, 50-an, berkata, dia sekeluarga tetap waspada memandangkan bencana banjir luar jangka kerap berlaku sejak akhir-akhir ini. – K! ONLINE.
No comments:
Post a Comment