Translate

Wednesday, January 5, 2022

Operasi APMM selamatkan pelantar minyak berjaya

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kapal dagangan, Winposh Rampart yang hanyut dan berpotensi merempuh sebuah pelantar minyak milik Petroliam Nasional Berhad (Petroleum) di perairan Terengganu berjaya ditambat Maritim Malaysia (APMM) sebentar tadi.

Ketua Pengarah APMM, Datuk Mohd. Zubil Mat Som berkata, kapal rosak milik syarikat perkapalan Indonesia tersebut berjaya dikesan pada pukul 3.30 petang selepas hampir enam jam operasi khas berkenaan dilancarkan.

“Kapal Winposh Rampart dijumpai pada kedudukan 120 batu nautika dari Kuala Terengganu.

“Sebaik ditemui, anggota Pasukan Tindakan Khas (PTK) APMM yang menaiki pesawat AW139 telah diturunkan ke kapal itu bagi mengurus dan melakukan proses menambatnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Zubil berkata, kapal Winposh Rampart akan ditunda oleh kapal Icon Lotus milik Petronas.

Beliau berkata, kapal tanpa kru dan muatan itu akan ditunda ke Pengkalan Bekalan Kemaman yang dijangka akan tiba dalam tempoh 65 jam.

Sebelum ini, APMM menerima maklumat kapal Winposh Rampart sepanjang 72 meter dan seberat 2,588 tan hanyut ke perairan Terengganu dan berpotensi merempuh pelantar minyak, Telok A milik Petronas pada pukul 3.15 petang semalam.

Kapal dagangan rosak yang sedang ditunda kapal Limin Rosmina hanyut selepas tali tundanya putus akibat cuaca buruk.

APMM dengan kerjasama Petronas telah melancarkan misi khas menghalang daripada kapal itu merempuh pelantar minyak terbabit sekali gus mencetuskan malapetaka. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment