Translate

Monday, January 10, 2022

ATM siap sedia hadapi kemungkinan gelombang banjir seterusnya

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersiap sedia membantu negeri-negeri terjejas untuk menghadapi kemungkinan gelombang banjir seterusnya.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, walaupun situasi banjir semasa di kebanyakan negeri termasuk Terengganu semakin pulih, ATM tetap diarahkan bersiap siaga untuk menggerakkan aset dan anggota selagi monsun Timur Laut belum berakhir.

“Komitmen ATM dengan kerajaan negeri (yang terlibat banjir) sangat rapat. Buat masa ini, kita membantu kerja-kerja pasca banjir.

“Ia termasuk pembersihan, baik pulih infrastruktur, jalan raya dan jambatan,” katanya pada sidang akhbar Ops Murni ATM di Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (Para), Kem Seri Pantai, Seberang Takir di sini hari ini.

Hishammuddin berkata, ATM membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan ujian saringan Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir.

Dalam pada itu, beliau berkata, bukan masanya untuk menuding jari menyalahkan kerajaan negeri Selangor tentang kekalutan dalam operasi banjir di negeri itu pada 18 Disember lalu.

“Banjir (besar) bukanlah biasa bagi Selangor dan apatah lagi berlaku di kawasan bandar yang sudah pasti berbeza gerak atur aset dan sumber manusia.

“Yang penting kita belajar. Operasi banjir di Terengganu, Kelantan, Pahang dan Johor lancar kerana kita telah menghadapi banjir berkali-kali sebelum ini,” katanya. -K! ONLINE.

No comments:

Post a Comment