Translate

Monday, January 17, 2022

Doktor disyaki jual sijil vaksinasi palsu disambung reman

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Tempoh reman seorang doktor klinik swasta yang diberkas Sabtu lalu kerana disyaki terlibat dalam kegiatan menjual sijil vaksinasi Covid-19 palsu dilanjutkan kepada dua hari lagi.

Perintah tambahan tahanan reman sehingga esok itu dibenarkan Majistret Engku Nurul Ain Engku di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Ia bagi membolehkan polis melengkapkan kes yang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dihadapi suspek berusia 51 tahun itu.

Terdahulu doktor tersebut yang berpakaian lokap berwarna ungu dibawa oleh anggota polis ke mahkamah terbabit dari lokap Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Marang di sini.

Kosmo! hari ini melaporkan kegiatan seorang doktor klinik swasta membekalkan sijil vaksinasi Covid-19 palsu kepada golongan anti vaksin sejak September tahun lalu terbongkar dalam serbuan di Marang pada Sabtu lalu.

Dalam serbuan pada pukul 7 malam itu, polis berjaya merampas kira-kira 1,900 dokumen yang telah diisi oleh pelanggan klinik berkenaan.

Siasatan awal percaya suspek berusia 51 tahun itu mengenakan caj antara RM400 hingga RM600 bagi setiap sijil vaksinasi palsu itu. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment