Translate

Thursday, January 6, 2022

Pelantar minyak berisiko dirempuh kapal dagang rosak

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Maritim Malaysia (APMM) melancarkan operasi khas menyelamatkan sebuah pelantar minyak dekat sini daripada dirempuh sebuah kapal dagang rosak yang sedang hanyut di perairan Terengganu.

Kapal Winposh Rampart sepanjang 72 meter dan seberat 2,588 tan milik sebuah syarikat perkapalan dari Indonesia yang rosak dan kemudiannya hanyut selepas tali tundanya putus pada kedudukan kira-kira 120 batu nautika dari Kuala Terengganu pukul 3.15 petang semalam.

Ketua Pengarah APMM, Datuk Mohd. Zubil Mat Som berkata, sebelum itu, kapal tanpa kru tersebut sedang ditunda oleh kapal Limin Rosmina milik syarikat perkapalan sama menuju ke Yang Pu, China dari Matak, Indonesia.

“Sewaktu kedua-dua kapal itu berada di lokasi terbabit yang merupakan perairan Vietnam, tali tundanya tiba-tiba terputus berikutan cuaca buruk menyebabkan kapal Winposh Rampart hanyut sehingga memasuki perairan Malaysia.

“Berdasarkan analisis penilaian risiko, kapal itu berpotensi melanggar pelantar minyak Telok A milik Petronas (Petroliam Nasional Berhad).

“Sekiranya bantuan awal tidak diberi, ia membawa risiko pelantar minyak itu meletup sekali gus boleh menyebabkan kehilangan nyawa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Zubil berkata, APMM telah mengambil tindakan pantas mengkoordinasi bantuan bersama Petronas untuk menunda kapal Winpost Rampart terbabit ke lokasi lebih selamat.

Beliau berkata, Pasukan Tindakan Khas (PTK) APMM telah diarah untuk mengenal pasti kaedah terbaik bagi mengelakkan kapal Winposh Rampart daripada terus hanyut sekali gus meningkatkan kebarangkalian untuk merempuh pelantar minyak terbabit. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment