Translate

Sunday, January 9, 2022

Portuguese Man o’ War kembali terdampar di pesisir pantai Marang

 



Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Obor-obor beracun daripada spesies Portuguese Man o’ War yang pernah ditemui pada hampir dua tahun lalu kembali terdampar di pesisir pantai Terengganu semalam.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, setakat ini, Portuguese Man o’ War atau nama saintifiknya, physalia physalis dijumpai di pesisir Pantai Kelulut dan Pantai Pulau Kerengga di sini.

“Berdasarkan tinjauan di kedua-dua pantai itu, pegawai Jabatan Perikanan menjumpai empat bangkai Portuguese Man o’ War.

“Pemantauan masih dilakukan sekiranya masih lagi terdapat haiwan itu terdampar di sekitar pesisir kedua-dua pantai berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Ruzaidi berkata, walaupun Portuguese Man o’ War yang dijumpai setakat ini sudah mati, ia masih beracun dan bahaya buat manusia yang menyentuhnya.

Tambah beliau, sengatan Portuguese Man o’ War yang beracun amat menyakitkan dan perlu mendapatkan rawatan segera ke pusat perubatan terdekat.

“Walaupun jarang berlaku, ia juga boleh menyebabkan kematian terhadap manusia. Racun dimiliki haiwan itu berfungsi melumpuhkan ikan dan akuatik kecil lain.

“Sehubungan itu, saya menasihatkan orang ramai agar menjauhi Pantai Kelulut dan Pantai Pulau Kerengga buat masa ini,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment