Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
IPOH - Seorang wanita telah melahirkan tiga bayi kembar menerusi
rawatan kesuburan kaedah persenyawaan tabung uji (IVF) di Hospital Raja
Permaisuri Bainun di sini baru-baru ini.
Kelahiran dua bayi lelaki dan seorang perempuan pada 18 April lalu
itu sekali gus menamatkan penantian tujuh tahun Lee Fong Theng, 30, dan
suaminya, Chan Keng Long, 33, untuk memperoleh cahaya mata.
Bayi lelaki pertama seberat 2.1 kilogram (kg) dilahirkan wanita itu
melalui pembedahan kira-kira pukul 8.46 pagi diikuti bayi perempuan
seberat 2.8 kg dan bayi lelaki seberat 2.7 kg masing-masing selang
seminit kemudian.
Fong Theng berkata, dia tidak mempunyai tiub fallopio (saluran
peranakan) selepas kedua-dua saluran itu yang tersumbat telah dipotong
pada 2010 selepas mereka berkahwin selama lima tahun.
"Ketika itu, saya gagal hamil biarpun sudah mencuba pelbagai cara.
Pembedahan membuang saluran itu hampir membuatkan kami putus asa untuk
memperoleh zuriat sendiri.
"Saya kemudian disaran mencuba rawatan IVF di HRPB pada Mac tahun
lalu dan saya disahkan mengandung anak kembar kira-kira enam bulan
kemudian," katanya pada sidang akhbar di wad bersalin hospital berkenaan
di sini semalam.
Turut hadir meraikan kejayaan kelahiran kembar tiga menerusi rawatan IVF yang julung-julung kali dilakukan HRPB itu ialah Pakar Perbidanan, Sakit Puan dan Kesuburan hospital tersebut, Dr. Tham Seong Wai.
Sementara itu, Keng Long berkata, dia tidak menyangka penantian untuk menimang zuriat sendiri sejak tahun 2005 berakhir dengan kelahiran anak kembar tiga.
"Sebelum ini saya amat berharap untuk memperoleh anak sendiri walaupun seorang. Saya amat bersyukur dikurnia tiga orang sekali gus," katanya.
Dalam pada itu, Seong Wai berkata, kesemua bayi itu berada dalam keadaan stabil, namun perlu diberi pemerhatian rapi berikut mereka dilahirkan tidak cukup bulan.
Beliau menerangkan, sebanyak empat telur digunakan untuk kaedah kesuburan tersebut dan satu daripadanya tidak berhasil pada cubaan kali pertama pada Mac tahun lalu.
"Tiga daripada telur terbabit kemudian dibekukan menerusi Program Pembekuan Embrio dan akhirnya ia menghasilkan tiga bayi kembar berkenaan," katanya.
No comments:
Post a Comment