Translate

Thursday, April 12, 2012

Gempa turut gegar Semenanjung

 Oleh WARTAWAN KOSMO!
berita@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR – Dua gegaran dalam tempoh hampir dua jam yang berpunca daripada gempa bumi kuat berukuran 8.6 pada skala Richter di Aceh, Sumatera Utara Indonesia semalam mencetuskan suasana panik di kalangan penduduk di beberapa negeri pantai barat Semenanjung Malaysia.

Gegaran pertama berlaku kira-kira pukul 4.50 petang dan disusuli pada pukul 6.45 petang itu menyebabkan penghuni di kediaman tinggi dan berhampiran pantai di negara ini meninggalkan rumah masing-masing.

Antara negeri yang merasai gegaran tersebut ialah Pulau Pinang, Perak, Johor, Selangor dan Kuala Lumpur.

Di pulau pinang, perkhidmatan feri yang menghubungkan Butterworth dan Goerge Town telah dihentikan pada pukul 8.30 malam berikutan gegaran kedua pada 6.45 petang tetapi disambung semula 45 minit kemudian setelah amaran tsunami ditarik balik.

Bagaimanapun, Jambatan Pulau Pinang dibuka seperti biasa.

Seorang penduduk flat Bukit Gedung, Siti Nur Zuriani Zaini, 25, memberitahu, orang-ramai lari lintang-pukang sebaik menyedari gegaran berlaku.

“Bayangkan bunyi gegaran itu sangat luar biasa seperti tanah sedang bergerak manakala pintu dan perabot rumah pula bergoncang,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

 Di pusat beli-belah Gurney Plaza pula, kira-kira 5,000 pengunjung bergegas keluar dari bangunan tersebut sehingga menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas di sepanjang Jalan Gurney, Jalan Gothlieb menuju ke pusat bandar.

Sementara itu, penduduk di Seberang Jaya turut merasai kesan gempa bumi itu dan tinjauan mendapati, kebanyakan pasar raya mengarahkan pengunjung supaya mengosongkan premis bagi tujuan keselamatan.

Seorang penghuni Flat Ampang Jajar, Butterworth, Mohd. Johi Said, 48, pula memberitahu, dia bersama empat ahli keluarganya sedang menonton televisyen ketika gegaran tersebut berlaku.

"Sebelum ini memang pernah berlaku gegaran di sini disebabkan gempa bumi di Indonesia, tetapi kali ini lebih kuat," katanya.

Di Kuala Lumpur, gegaran tersebut turut menyebabkan sebahagian bangunan tinggi bergoyang sehingga penghuninya bertempiaran lari meninggalkan bangunan tersebut.

Tinjauan di Kondominium Seri Hijau, Seksyen 6, Bandar Mahkota Cheras, kira-kira 1,000 penduduk lari keluar dari kediaman masing-masing apabila bangunan kediaman mereka bergoyang.

Di Perak, gegaran yang sama turut dirasai di lima daerah iaitu Hilir Perak, Manjung, Kerian, Kinta dan Batang Padang.

Di Johor, kawasan yang merasai gegaran termasuk Hotel Puteri Pasific, Hotel Seri Impian dan Apartmen Sri Impian, Larkin Perdana di sini serta Hotel Katerina di Batu Pahat.

Keadaan yang sama turut dirasai oleh penduduk di Selangor terutama di Ampang, Subang Jaya, Kajang, Klang, Petaling Jaya, Puchong, Shah Alam, Semenyih, Sabak Bernam, Tanjung Karang, Gombak, Pandan dan Damansara.

Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menerima lebih 30 panggilan melaporkan gegaran bangunan ekoran gempa bumi yang melanda Wilayah Aceh, Indonesia semalam.

No comments:

Post a Comment