Translate

Saturday, April 14, 2012

Banjir Kuala Dipang tidak berubah

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

 KAMPAR – Keadaan banjir di Kuala Dipang dekat sini semalam tidak banyak berubah dengan 1,166 penduduk masih ditempatkan di dua pusat pemindahan iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampar dan Dewan Pulau Berganding di sini.

Bagaimanapun, hujan lebat yang melanda awal pagi semalam menyebabkan dua lagi kampung turut dilanda banjir iaitu Kampung Changkat Jering dan Kampung Mesah dekat sini.

Kelmarin, penduduk tujuh kampung terlibat ialah dari Kampung Batu 20, Kampung Baru, Kampung Dipang, Kampung Melaya, Kampung Pasir, Kampung Nyior dan Kampung Pulau Berganding.

Ketua UMNO Bahagian Kampar, Datuk Mohamed Radzi Manan berkata, berdasarkan situasi semasa, banjir yang menenggelami sebahagian besar Pekan Kuala Dipang itu dijangka hanya akan surut dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga hari lagi.

"Jika cuaca baik, mangsa banjir boleh pulang ke rumah masing-masing dalam dua atau tiga hari lagi. Kita hanya boleh memperbaiki ban Sungai Kampar yang pecah sebelum ini selepas banjir surut," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di pusat pemindahan SMK Kampar di sini semalam.

Sementara itu di Pendang, Kedah, sebanyak 28 buah rumah di tiga buah kampung yang terletak berhampiran kawasan kuari tanah di Bukit Jambul dilanda banjir kilat bercampur dengan lumpur ekoran hujan lebat selama hampir dua jam awal pagi semalam.

Kampung terlibat ialah Kampung Kilang Kechil, Kampung Lancut Binjal dan Kampung Air Putih Dalam yang terletak kira-kira 500 meter dari kawasan kuari tersebut.

No comments:

Post a Comment