Translate

Monday, April 23, 2012

Maut akibat bisikan misteri

 Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI
dan MOHD. AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

 TANJUNG MALIM - Seorang pelajar perempuan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang mendakwa diganggu bisikan misteri ditemui maut selepas terjatuh dari tingkat lima bangunan E-Learning, kampus terbabit di sini kelmarin.
Kejadian menimpa Fatimah Mina Md. Juferi, 22, dipercayai atas dorongan suara bisikan misteri yang dialami pelajar terbabit sejak beberapa tahun lepas.

Dalam kejadian pukul 5.40 pagi hingga 6 petang itu, pelajar semester empat Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK) itu dijumpai dalam keadaan tertiarap di kaki lima bangunan yang terletak tidak jauh dari Pintu Masuk Timur UPSI.

Seorang rakan sekelas mangsa yang enggan dikenali berkata, Allahyarham Fatimah sebelum ini dilihat mengalami kemurungan kerana mendakwa diganggu makhluk halus.

"Fatimah mengadu bisikan dan gangguan tersebut semakin kerap sejak beberapa bulan lalu," katanya ketika ditemui di UPSI di sini semalam.

 Ekoran itu, katanya, mangsa yang menetap di luar kampus bersama beberapa rakan sekuliah di rumah sewa di Taman Universiti di sini dibawa menjalani rawatan tradisional oleh keluarganya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Datuk Dr. Junaidi Abu Bakar berkata, mangsa dikesan menaiki lif bangunan terbabit secara bersendirian pada pukul 5.26 petang.

"Semasa kejadian semua kelas di UPSI telah berakhir dan kelibat mangsa menaiki lif ke tingkat lima dilihat melalui kamera litar tertutup (CCTV).

"Semasa mangsa jatuh, seorang pelajar lain kebetulan lalu berdekatan kawasan itu terkejut menemui mangsa yang tertiarap sebelum pelajar itu mendapatkan bantuan petugas keselamatan," katanya.

Menurut beliau, Fatimah dari Jeram Bukit Batu, Bakri, Muar, Johor pernah mengambil cuti sakit semasa pengajian untuk membolehkan dia menjalani rawatan tradisional yang diuruskan keluarganya.

"Malah pada hari kejadian, saya dimaklumkan bisikan yang dialami pelajar terbabit semakin kuat mengganggu.

"Beberapa jam sebelum dia dijumpai terjatuh, Fatimah baru mendapatkan rawatan di sebuah klinik panel UPSI di sini dan diberikan ubat telinga bagi mengurangkan bisikan itu," katanya.

Katanya, pihak UPSI percaya tindakan Fatimah yang mengambil Bahasa Arab sebagai jurusan pengkhususan kecil semata-mata didorong gangguan makhluk halus bukannya berniat membunuh diri.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah di muka dan bahagian badan, kaki kanan, rusuk, kedua-dua bahu dan hidung meninggal dunia akibat kecederaan teruk.

Mayat Fatimah dihantar ke Hospital Slim River di sini sebelum dirujuk ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat.

Jenazah mangsa dituntut ahli keluarganya semalam.

  

No comments:

Post a Comment