Translate

Wednesday, April 4, 2012

Rayu bantu tampung kos anak hidap kanser tulang

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Seorang pekerja kilang merayu bantuan orang ramai untuk membiayai kos perubatan bagi mengubati anak lelakinya yang menghidap penyakit kanser tulang yang melibatkan kos sebanyak RM78,000.

Wan Ahmad Affendy Wan Mohd. Yaakob, 33, berkata, anak sulungnya, Wan Arif Ferdaus, 8, yang menghidap kanser tahap empat itu menjalani pembedahan pemindahan tulang sum-sum dan penggantian tulang kaki kiri pada kadar segera.

“Pakar perubatan PPUM (Pusat Perubatan Universiti Malaya) beritahu, pembedahan perlu dilakukan selewat-lewatnya dalam tempoh dua bulan, jadi saya tidak mampu jika tidak ada bantuan kewangan,” ujarnya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak di sini semalam.

Menurut Wan Ahmad Affendy, tahap kesihatan anaknya kini semakin merosot dan peluang untuk pulih sepenuhnya cuma 40 peratus.
 Turut hadir isteri Wan  Ahmad Affendy, Zetty Ramli, 28, dan Ketua Urus Setia Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak,  Mohd.  Ravi Abdullah.

Wan Ahmad Affendy berkata, selain pembedahan pemindahan tulang sum- sum yang dianggarkan menelan belanja RM40,000, tulang kaki kiri   Wan Arif Ferdaus yang terjejas akibat kanser juga perlu diganti dengan implan besi dari paras lutut melibatkan kos sebanyak RM38,000.

Menurutnya, beliau dan isteri yang menetap di Kampung Sentang Tambahan telah membelanjakan hampir RM20,000 untuk rawatan kimoterapi di PPUM sejak akhir tahun lalu.

"Kebanyakan wang tersebut dibiayai daripada sumbangan derma rakan setugas saya dan ahli keluarga. Isteri saya merupakan suri rumah sepenuh masa, manakala pendapatan saya pula tidak seberapa.

"Sekarang ini pendapatan bersih bulanan saya tinggal lebih kurang RM300 kerana terlalu banyak mengambil cuti tanpa gaji untuk berulang-alik dari Batu Gajah ke Kuala Lumpur menguruskan rawatan perubatan anak saya," katanya.

Wan Ahmad Affendy  memberitahu, kaki kiri anak sulungnya daripada tiga beradik itu mula membengkak pada Mei tahun lalu selepas dia terjatuh ketika bermain di laman rumah.

Pada peringkat awal, penyakit kanser gagal dikesan oleh pakar perubatan Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini ketika   Wan   Arif Ferdaus dirujuk di hospital itu dari Mei hingga September 2011.

"Pada Disember lalu, kami suami isteri merujuk Wan Arif Ferdaus di Hospital Pakar Pantai Kuala Lumpur dengan meminjam wang daripada ahli keluarga dan keputusan mengesahkan anak saya menghidap kanser tulang sebelum dia dirujuk ke PPUM pula selepas itu," katanya.

Sehubungan itu, Wan  Ahmad Affendy  merayu sumbangan orang ramai menerusi akaun Maybank miliknya bernombor 158015114461 dan beliau boleh dihubungi di talian 012-5093505.

No comments:

Post a Comment