Translate

Saturday, April 21, 2012

Pensyarah perubatan kongsi kepakaran

TAPAH  - Penduduk di luar bandar kini boleh mendapatkan perkhidmatan doktor pakar di  hospital  daerah terpilih menerusi program perkongsian pintar antara Kementerian Kesihatan dan institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, menerusi program tersebut,  pensyarah  fakulti perubatan IPT terlibat akan diserapkan sebagai doktor pakar di  hospital  daerah terpilih di seluruh negara.

"Buat permulaan sebanyak 22 IPT yang menawarkan jurusan perubatan akan terlibat dalam program ini dan masing-masing akan berkhidmat di sebuah  hospital  daerah yang tidak mempunyai khidmat doktor pakar sebelum ini.

"Contohnya,  pensyarah  Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) akan berkhidmat di  Hospital   Tapah , Kolej Perubatan Manipal Melaka ( Hospital  Jasin, Melaka) dan Kolej Universiti Sains Perubatan Allianze ( Hospital  Kepala Batas, Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis penandatangani perjanjian kerjasama antara Kementerian Kesihatan dengan IPT di  Hospital   Tapah  di sini semalam.

Kementerian Kesihatan diwakili Ketua Setiausahanya, Datuk Kamarul Zaman Md. Isa manakala IPT terlibat pula diwakili pengurusan kanan masing-masing.

Tiong Lai berkata, program di bawah Strategi Lautan Biru Nasional itu bertujuan memudahkan orang ramai memperoleh perkhidmatan perubatan pakar seperti penyakit jantung dan buah pinggang di  hospital  daerah tanpa perlu dirujuk ke  hospital  negeri seperti diamalkan sebelum ini.

No comments:

Post a Comment