Translate

Tuesday, April 24, 2012

Jaksa Pendamai dituduh rasuah

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

 IPOH - Seorang ahli Jaksa Pendamai dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan memberi rasuah kepada Penolong Pegawai Daerah Kinta pada Julai tahun lalu.

Baharun Uda Mat Jali, 66, yang juga seorang kontraktor dituduh melakukan kesalahan tersebut di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kinta, Batu Gajah dekat sini pada pukul 11 pagi, 20 Julai 2011.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang berasal dari Kampung Tersusun Jalan Gopeng, Batu Gajah telah memberi suapan sebanyak RM500 kepada Penolong Pegawai Daerah (Tanah) Kinta, Amir Fadli Mohamed Helmi.

Perbuatan rasuah itu dilakukan tertuduh di bilik pejabat Amir Fadli yang terletak di Unit Teknikal dan Penguatkuasaan, PDT Kinta.

Ia sebagai dorongan agar Amir Fadli memberi kelulusan permohonan menukar kawasan pemindahan pasir oleh Baharun dengan hanya menggunakan permit 4C yang telah luput.

 Permit pemindahan pasir terbabit telah luput pada 3 Julai 2011 dan sepatutnya tertuduh perlu membuat permohonan baru dengan mengisi borang Jadual 1A (Peraturan 2) Kanun Tanah Negara.

Baharun didakwa di bawah Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum bersama Seksyen 24 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan dia boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.

Baharun yang berkopiah dan berbaju kemeja merah hati membuat pengakuan tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Hakim Noor Hayati Mat memerintahkan tertuduh dibebaskan dengan wang jaminan RM7,000 dan seorang penjamin serta menetapkan 24 Mei ini untuk sebutan semula kes.

No comments:

Post a Comment